Kacau Daun Selepas 6 Bulan: Perjalanan ke Versi 1.0.0

Selepas hampir 6 bulan dilancarkan, Kacau Daun terus dikemaskini kepada versi beta terkini, iaitu versi 0.6.1. Apa yang bermula sebagai satu fungsi ringkas kini telah berkembang kepada pelbagai fungsi, hasil daripada permintaan dan maklum balas pengguna Daun sendiri.
Segala perincian teknikal setiap kemaskini telah pun direkodkan secara terperinci di Nota Keluaran, jadi entri kali ini lebih kepada refleksi arah tuju Kacau Daun selepas 6 bulan ini.
Buat masa ini, pipeline asas berfungsi dengan baik. Kacau Daun kekal percuma untuk semua pengguna Daun, dan itu sesuatu yang saya mahu kekalkan buat masa terdekat.
Cuma halusinasi di luar kawalan kadang-kala perlu diberi perhatian lebih-lebih lagi apabila bot cuba menjawab sesuatu di luar skop yang sepatutnya, atau tersasar daripada konteks asal soalan.
Ini bukan sesuatu yang luar biasa untuk produk AI di peringkat beta, tapi ia kekal sebagai keutamaan untuk saya pantau dan perbaiki dari semasa ke semasa.
Ketika ini, terdapat beberapa perancangan besar yang sedang dalam proses.
Overhaul seni bina bot
Saya cuba meneliti seni bina yang lebih baik daripada sedia ada. Sistem sedia ada bergantung kepada kaedah intents iaitu bot cuba mengecam dan melabel jenis soalan atau arahan sebelum memberi respons yang sesuai.
Kaedah ini pantas dan mudah dilaksanakan pada peringkat awal, tetapi ada limitasinya. Apabila soalan pengguna tidak jelas atau bercampur beberapa maksud sekali gus, labeling yang tersasar boleh menyebabkan bot menjawab sesuatu yang tidak tepat, atau lebih teruk, halusinasi.
Ini yang perlu saya perhatikan secara berkala buat masa ini.

Selain daripada itu, model AI yang digunakan ketika ini juga agak kurang memuaskan hati saya. Ia berfungsi, tetapi personaliti dan gaya jawapannya tidak sepenuhnya menepati apa yang saya bayangkan untuk Kacau Daun iaitu bot yang kepoh, santai, tapi tetap bertatasusila.
Saya berpendapat mungkin sudah tiba masanya untuk saya meneliti model lain yang lebih menepati personaliti yang saya mahukan, walaupun ini bermakna perubahan besar pada seni bina bot secara keseluruhan.
Lancarkan laman web rasmi Kacau Daun
Laman web rasmi Kacau Daun kini berada di fasa akhir rekaan, dan kemungkinan besar akan dilancarkan sepenuhnya pada bulan September 2026.
Sebelum ini, cerita di sebalik Kacau Daun hanya boleh dikesan melalui hantaran di Daun. Dengan laman web ini, saya mahu ada satu tempat rasmi untuk semua orang ikuti perkembangan bot ini daripada cerita asal penciptaannya, nota keluaran teknikal, sehinggalah refleksi seperti entri ini.

Jadi selepas ini, segala kemaskini penting akan direkodkan secara rasmi di laman web ini, tidak kira melalui Nota Keluaran (Release notes) atau blog seperti ini.
Harapan saya, ini memudahkan sesiapa yang berminat untuk mengikuti perjalanan Kacau Daun tanpa perlu menggali balik hantaran lama di Daun.
Kesimpulan
Jika overhaul seni bina bot dilakukan dan saya benar-benar berpuas hati dengan hasil yang dikeluarkan oleh bot daripada segi ketepatan, personaliti dan kestabilan, barulah saya akan menamatkan versi beta ini dan memulakan versi 1.0.0 secara rasmi.
Tiada tarikh tetap buat masa ini. Saya pula lebih mengutamakan kualiti berbanding kelajuan untuk peringkat ini.
Buat masa ini, versi 0.6.1 kekal sebagai asas yang kukuh untuk saya terus bereksperimen dan belajar daripada cara sebenar pengguna Daun berinteraksi dengan Kacau Daun.
Itu sahaja perkongsian kali ini. Terima kasih kerana terus mengikuti perkembangan Kacau Daun.

Azmir Shah
Pencipta Kacau Daun. Menulis tentang proses membina produk, eksperimen AI dan perkara yang dipelajari sepanjang mengembangkan bot ini bersama komuniti Daun.

